Pages

Monday, October 10, 2011

Tasik Meromiktik (Taman Negara Pulau Pinang)


TELUK BAHANG (P.Pinang), 2 Julai (Bernama) --


Pernah dengar mengenai tasik Meromiktik?

                                                          

Sebuah buku geografi menjelaskan ia sebagai fenomena bermusim yang berlaku apabila beting pasir terjadi berhampiran pantai berikutan tindakan angin dan ombak yang kerap. Beting pasir ini akan menghalang pergerakan air laut yang dibawa bersama ombak yang besar, hingga membentuk lagun bermusim, yang kemudian terjadinya tasik Meromiktik. Pegawai Jabatan Perlindungan Kehidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang, Nurul Azura Mohd Naim, menjelaskan bahawa tasik Meromiktik di Pantai Kerachut dekat sini juga dikenali sebagai tasik bermusim yang terjadi hanya pada peralihan musim monsun Timur Laut (November-Mac) dan angin monsun Barat Daya (Mei-September).


"Tasik Meromiktik mempunyai dua lapisan air yang berbeza suhu dan ketumpatan, air laut yang lebih berat akan berada di lapisan bawah manakala air tasik akan berada di bahagian atas. Air laut dan tasik tidak boleh bercampur, kalau berada di dalamnya kita akan dapat rasa di bahagian bawah panas dan atas sejuk,"


katanya kepada pemberita ketika lawatan ke tasik itu baru-baru ini.

DUA SUHU BERBEZA


Beliau berkata, beting pasir terbentuk sepenuhnya pada 1 Mei lepas, bagaimanapun strukturnya tidak kuat dan tidak digalakkan untuk berdiri di kawasan itu kerana ia boleh runtuh dan mendatangkan bahaya. Menurut Nurul Azura, di Malaysia hanya Pantai Kerachut sahaja yang mempunyai Tasek Meromiktik dan sebuah lagi di Australia.


"Tasik bermusim di Pantai Kerachut ini amat popular hinggakan ramai yang datang tidak melepaskan peluang untuk mandi dan merasai dua suhu yang berbeza dalam sebuah tasik pada masa yang sama," katanya.


Nurul Azura berkata, tasik itu hampir kering selepas berakhirnya musim peralihan kerana air laut mengalir semula ke laut menerusi alur yang terbentuk pada beting pasir.

                                                                  

"Selepas berakhir musim, tasik hanya dipenuhi dengan air tawar sahaja," katanya.


Tasik Meromiktik di Pantai Kerachut dengan keluasan 2.77 kilometer persegi, terbentuk daripada aliran lima anak sungai yang terdapat di dalam kawasan hutan Taman Negara Pulau Pinang. Tasik Meromiktik di Malaysia adalah yang kedua selepas Australia. Selain Australia, dikatakan sebuah tasik yang serupa juga terdapat di Black Sea, kata Nurul.


DUA JALAN


Untuk sampai ke Tasik Meromiktik, Pantai Kerachut, pengunjung boleh mengikuti jalan darat yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit, yang turut menjanjikan kepuasan kerana suasana nyaman dan dingin di hutan yang hijau. Sambil berjalan pengunjung juga berpeluang mengenali spesies tumbuh-tumbuhan dan pokok hutan yang terdapat di kawasan hutan taman negara itu. Bagi yang gemarkan cabaran ombak di laut luas boleh memilih untuk menaikki bot, yang mengambil masa kira-kira 30 minit. Melalui jalan laut, pengunjung bukan sahaja akan teruja dengan lambungan ombak malahan berpeluang menyaksikan sendiri batu yang berbentuk buaya dan batu penyu. Batu berbentuk kepala buaya yang kelihatan sedang 'berehat' itu mengundang pelbagai persoalan, bagaimanapun tiada siapa yang tahu 'mitos' di sebaliknya. Begitu juga dengan batu penyu yang berada tidak jauh dari batu buaya, seakan ada cerita tetapi tiada sumber sahih untuk mengungkap 'mitos' dan 'misteri' yang tersembunyi di situ. Bagi pengunjung yang datang melalui laluan laut juga sesekali akan berpeluang melihat sekawan helang putih terbang berpasangan di sepanjang pesisir. Keriangan helang itu seakan menyambut kedatangan pengunjung ibarat ucapan 'selamat datang'. Bukan itu sahaja jika 'bertuah' pengunjung juga akan berpeluang menyaksikan penyu mendarat dan bertelur.

                                                    


BAY OF GLOWING AMBER

                                                     Matahari terbenam di pantai kerachut

Taman Negara Pulau Pinang, yang terletak di daerah Barat Daya berhadapan dengan Selat Melaka, adalah taman negara yang pertama diwujudkan di bawah Akta Taman Negara 1980. Setelah diwartakan pada 10 April 2003 Taman Negara Pulau Pinang diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Perhilitan, jumlah keseluruhan keluasannya ialah 2,562.983 hektar merangkumi keluasan darat 1,181.949 hektar dan laut 1,381.041 hektar. Taman Negara Pulau Pinang terdiri daripada lima jenis habitat, ia juga terkenal dengan jolokan 'Bay of Glowing Amber' kerana pemandangan yang menarik pada waktu senja yang berlainan pada setiap hari. Keindahan waktu senja, ketika matahari 'merehatkan' diri membiaskan remang merah di kaki langit, dialun dengan bunyi ombak menghempas pantai sekaligus melapangkan fikiran. Pantai Kerachut bukan sahaja unik dengan adanya Tasik Meromiktik, tetapi juga pasirnya yang seakan kristal dan membiaskan kilauan cahaya pada waktu malam. Tidak seperti pasir di mana-mana pantai, pasir di Pantai Kerachut tidak melekit pada kulit.

                                                           Kawasan Taman negara Pulau Pinang


Terdapat dua pintu masuk untuk sampai ke Taman Negara Pulau Pinang. Jika pengunjung memilih laluan darat mereka berpeluang melawat rumah api di Muka Head, yang dibina pada 1883 dengan ketinggian 227 meter dari paras laut. Rumah api itu masih berfungsi sehingga hari ini, terletak di Pantai Teluk Duyung, dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Laut. Pintu kedua terletak di Kuala Sungai Pinang di daerah Balik Pulau, melalui pintu kedua pengunjung tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menggunakan bot pelancong yang tersedia. Dalam keadaan dunia hari ini yang semakin terancam dan kebanyakan spesies flora dan fauna yang kian pupus, menjaga khazanah alam yang tinggal merupakan tanggungjawab bersama. Anugerah Tuhan yang tiada nilainya itu adalah amanah kepada manusia untuk terus memeliharanya bagi tatapan generasi akan datang. Kerakusan manusia yang mementingkan diri sendiri dengan mengaut keuntungan daripada khazanah hutan dan bumi hanya akan membawa musibah. Sebelum alam menghamburkan rasa 'marah', peliharalah keindahan khazanah alam untuk kestabilan ekosistem dan fitrah kehidupan makhluk Tuhan.


-- BERNAMA
P/s : Proud to be penangites....Love my lovely Penang :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...